Kunci kepada amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun di bulan puasa. Selain daripada itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.
Berbuka puasa
Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Contoh makanan berbuka puasa yang baik adalah seperti berikut:
| 3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih. |
Makan malam | 1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah. |
Makan lewat malam (moreh) | Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang atau buah-buahan. |
Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari.
Sahur
Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan.
Semasa bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Walau bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ianya boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil adalah seperti berikut:
| 1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak
|
Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Comments (0)
Post a Comment